Nama islam tidak semestinya nama Arab. Nama Islam adalah nama yang mempunyai makna yang baik walaupun ia berbahasa Cina, India ataupun lain. Pada zaman Rasulullah SAW, ramai kaum Quraisy dan sahabat2 yang memeluk Islam mengekalkan nama asal seperti Bilal bin Rabbah(Ethiopia/Habsyah), Salman al-Farisi(Parsi). Hanya segelintir sahaja yang Nabi SAW suruh tukar nama sekiranya ianya mempunyai maksud yang tidak baik ataupun mengandungi unsur Syirik. Jadi tidak wajib untuk menukar nama kepada nama Arab. Malah kadang-kadang menukar nama kepada nama Arab boleh menghalang seseorang dari memeluk Islam. Ini adalah kerana sebagai contoh, nama keluarga adalah sangat penting bagi masyarakat Cina. Jadi apabila menukar nama kepada nama Arab akan terpaksa membuang nama keturunan. Ini bermakna terputusnya pertalian nasab dan pada masa yang sama hilang identiti peribadi. Ini sudah tentu akan mengakibatkan terputusnya pertalian keluarga dan akan menimbulkan kemarahan ibu-bapa(non-muslim) dan menganggap kerana Islamlah yang telah memecahbelahkan institusi kekeluargaan mereka.
Antara hikmah mengekalkan nama asal adalah
- Dapat membetulkan salah faham tanggapan yang mengatakan bahawa masuk Islam bermakna ‘masuk Melayu’. Islam tidak menukar identiti bangsa. Mereka tetap kekal dalam bangsa Cina ataupun India cumanya beragama Islam
- Pertukaran nama akan menyebabkan perlu tukar passport, lesen, buku bank dan banyak lagi yang boleh menyusahkan muallaf tersebut sedangkan ianya bukan satu kewajipan dalam Islam
- Membetulkan salah faham yang beranggapan Islam adalah untuk Melayu sahaja. Islam sebenarnya agama sejagat(universal) dan bukannya hal milik bangsa tertentu sahaja
Adakah apabila masuk Islam perlu tukar nama bapa kepada Abdullah?
Nama bapa adalah sangat penting untuk menjaga keturunan seseorang. Maka, menukarkan nama bapa dengan nama Abdullah akan menghapuskan keturunan saudara muslim yang sebenar. Antara nas al-Quran dan al-Sunnah yang melarang menukarkan nama bapa adalah seperti berikut :-
Firman Allah swt
“Panggillah anak-anak angkat dengan memakai nama bapa mereka; itu lebih adil pada sisi Allah SWT. Jika kamu tidak mengetahui bapa mereka, maka panggillah mereka sebagai saudara-saudaramu seagama dan maula-maulamu. Dan tidak berdosa jika kamu keliru tentangnya, tetapi berdosa apabila disengaja oleh hatimu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(Surah al-Ahzab 33:5)
Rasullullah saw bersabda yang diriwayatkan oleh Sa’ad bin Abi Waqqas r.a bermaksud;
“Sesiapa yang dengan pengetahuannya(secara sedar) menyandarkan bapanya kepada seseorang yang bukan bapanya akan dikecualikan dari (menjadi penghuni) syurga”
Sahih al-Bukhari 8:758, Muslim 1:120, Abu Daud 3:5094
Rasulullah saw bersabda yang diriwayatkan oleh Abu Dharr r.a bermaksud:-
“Sesiapa secara sengaja membiarkan dirinya dipanggil sebagai anak kepada seseorang yang bukan bapanya maka dia terjatuh ke dalam kekufuran”
Sahih al-Bukhari 4:467, Muslim 1:118, Abu Daud 3:5095
Secara realiti, pertukaran nama seseorang muallaf kepada ber’bin’ atau ber’binti’kan Abdullah bukan merupakan ajaran Islam yang sebenar tetapi ia lebih merupakan budaya tempatan Malaysia. Perkara ini tidak diamalkan pada zaman Rasulullah saw merujuk kepada kalangan fuqaha al-Sahabah seperti Umar al-Khattab r.a, Ali bin Abi Talib r.a yang masih mengekalkan nama bapa masing-masing walaupun bapa mereka bukan Islam. Sekiranya wajib menukar kepada Abdullah maka sudah pasti Rasulullah akan mempraktikkannya terhadap para sahabat baginda terlebih dahulu.
Antara hikmah tidak menukar nama bapa
- Islam amat mementingkan pemeliharaan Nasab(keturunan) bagi menghindari perkahwinan antara ahli keluarga yang diharamkan berkahwin akibat tidak mengetahilui asal-usul keturunan
- Mengekalkan perhubungan antara sesorang anak dengan kedua ibu-bapa mereka seperti biasa. Dalam konteks ini, Islam sama sekali tidak memutuskan tali kekeluargaan walaupun ibu-bapa mereka belum Islam.