Ini adalah antara persoalan yang selalu ditanya oleh non-Muslim. Ramai sebenarnya yang nak tahu apa itu Islam dan mereka juga berhak tahu apa itu Islam. Dan sekiranya kita ditanya soalan sebegini, apa yang akan kita jawab? Apa yang akan kita terangkan kepada mereka? Nah, ini sedikit sebanyak poin-poin yang ingin saya kongsikan bagi menerangkan apa itu Islam khususnya kepada non-Muslim
Definisi Islam
Islam adalah dalam bahasa Arab. Dalam bahasa Arab boleh ada pelbagai makna. Perkataan Islam terhasil daripada perkataan Arab yang terdiri daripada tiga huruf hijaiyah iaitu Sin (س), Lam (ل), dan Mim (م). Daripada tiga huruf ini, terbentuk tiga perkataan dari kata dasar yang sama dalam bahasa Arab iaitu Salam, Aslama, dan Salima.
Salam bermaksud tenang, aman, damai, selamat, sejahtera, dan harmoni ataupun dalam bahasa English adalah Peace, Calm, Tranquility.
Aslama pula bermaksud tunduk, patuh, dan menyerah diri secara menyeluruh kepada segala perintah Allah SWT dengan melaksanakan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Ini membawa maksud kepatuhan total kepada Tuhan, tanpa syarat.
Salima bermaksud sumber yang benar, sahih, tulen, dan autentik, iaitu berpegang kepada Al-Quran dan Hadith. Ia menekankan keaslian dan ketulenan ajaran Islam yang berlandaskan kepada sumber yang sahih.
Secara kesimpulan, dari segi bahasa, Islam bermaksud mencapai ketenangan dengan tunduk dan patuh serta menyerah diri secara menyeluruh, bersumberkan kepada Al-Quran dan Hadith.
Dari segi istilah syarak pula, Islam bermakna tunduk dan patuh serta menyerah diri kepada Allah SWT dengan beriman kepada-Nya dan mengamalkan segala ajaran yang dibawa oleh Rasul-Nya. Dalam erti kata lain, Islam adalah agama yang mengajak umatnya untuk beriman kepada Allah dan mengikuti ajaran Rasulullah SAW.
Nama Islam
Uniknya, nama “Islam” tidak diberikan berdasarkan nama pengasas tertentu, tokoh-tokoh tertentu, atau suku kaum lokaliti tertentu. Tidak seperti agama-agama lain yang mungkin dinamakan berdasarkan pengasasnya atau kaum tertentu, Islam berdiri sendiri sebagai satu agama yang suci.
Agama Islam tidak dinamakan sempena nama Nabi Muhammad SAW kerana ia bercanggah dengan ajaran Islam itu sendiri yang mengajar untuk menyembah dan mentauhidkan Allah SWT sebagai Tuhan yang sebenar-benar Tuhan, bukan menyembah Nabi Muhammad SAW. Tuhan yang seBenar-benar Tuhan dan satu-satunya Tuhan, Allah SWT sendiri yang memberi nama agama ini sebagai agama Islam. Dalam Al-Quran Surah Ali-Imran [3:19], Allah SWT berfirman yang bermaksud:
Satu-satunya agama yang disisi Allah adalah Islam
dan juga merujuk kepada Surah al-Maidah [5:3], Allah SWT berfirman yang bermaksud:
Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu
Islam adalah Agama Semua Nabi-nabi
Penting untuk difahami bahawa Islam bukanlah agama yang diasaskan oleh Nabi Muhammad SAW. Sebaliknya, Islam telah diturunkan sejak manusia pertama diciptakan di muka bumi iaitu Nabi Adam a.s. Semua nabi-nabi membawa mesej yang sama: mentauhidkan dan hanya menyembah Allah sebagai Tuhan yang sebenar-benar Tuhan.
Sebagai contoh, merujuk kepada Surah al-Baqarah [2:132], Nabi Ibrahim a.s berwasiat kepada anak-anaknya dengan berkata,
Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam
Begitu juga, dalam Surah As-Syura [42:13], disebutkan bahawa Islam adalah agama sebenar yang telah diturunkan kepada semua Nabi-Nabi.
Islam Agama Universal
Islam bukan hanya untuk bangsa Melayu atau bangsa Arab sahaja. Ia adalah agama universal yang diturunkan kepada SELURUH UMAT MANUSIA. Malah, jumlah muslim dalam kalangan orang bukan bangsa Arab lebih ramai berbanding bangsa Arab, sungguhpun Islam berkembang dari tanah Arab. Ajaran Islam adalah menyeluruh dan boleh diikuti oleh seluruh kelompok masyarakat, merangkumi semua peringkat manusia, semua tempat, semua bangsa, dan kaum melangkaui masa dan zaman.
Islam Sebagai Ad-Deen
Islam bukan hanya sekadar agama, ia adalah ad-Deen, suatu cara hidup yang lengkap, syumul merangkumi semua aspek kehidupan manusia seperti keperluan intelektual, emosi, rohani, jasmani, dan sosial manusia. Ia memberi petunjuk dan panduan kepada manusia untuk menjalani kehidupan di dunia menuju ke arah keredhaan Allah SWT. Ad-Deen ini bukan ciptaan manusia. Ia adalah agama yang Allah kurniakan kepada manusia melalui para nabi.
Ad-Deen juga bermaksud kepatuhan dan ketaatan. Sebagai seorang muslim, adalah wajib untuk mematuhi dan mengikuti ajaran Islam dalam setiap aspek kehidupan. Islam mengajar penganutnya untuk menyembah Pencipta bukan Ciptaan-Nya(Makhluk). Islam mengajak kepada perkara yang maaruf dan mencegah yang mungkar. Perkara yang paling maaruf antara segala yang maaruf adalah menyembah Allah dan mentauhidkan-Nya, dan perkara yang paling mungkar antara segala perkara yang mungkar adalah Syirik (menyembah selain daripada Allah dan menyekutukan-Nya). Allah SWT berfirman, dalam Surah An-Nisa [4:48] dan [4:116] yang bermaksud:
Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengampuni dosa syirik dan Dia mengampuni segala dosa selain daripada syirik bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Barang siapa mempersekutukan Allah SWT, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar
Oleh itu, hanya Islam yang dapat menjamin kejayaan di dunia dan di akhirat berdasarkan firman Allah dalam al-Quran Surah Ali-Imran [3:85] yang bermaksud:
Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi
Wallahu’alam.