Posted on

Antara persoalan yang selalu bermain difikiran orang Islam dan kadang-kadang juga ada persoalan sebegini dari kalangan orang bukan Islam.

“Assalamualaikum” adalah dari bahasa Arab yang bermaksud “Selamat Sejahtera” dalam bahasa Melayu atau “Peace Be Upon You” dalam Bahasa English.

Definisi Salam dari sudut bahasa menurut Kamus Dewan adalah selamat sejahtera, aman damai dan hormat. Ibn Manzhur berkata didalam kitabnya, salam bermaksud selamat sejahtera dan berlepas diri

Dari sudut Istilah Salam merupakan ucapan penghormatan yang diucapkan oleh orang yang beragama Islam kepada saudaranya. Maksud ini diambil berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah Yunus [10:10] yang bermaksud:

Dan ucapan penghormatan mereka padanya ialah: Selamat sejahtera. 

Yunus [10:10]

Dalam al-Quran menyatakan memberi salam kepada sesiapa sahaja dan tidak terhad hanya kepada Muslim sahaja, merujuk kepada Surah An-Nuur[24:27] yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk kedalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu terlebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat(mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu).

Surah An-Nuur[24:27]

Dan juga dalam ayat lain merujuk kepada Surah al-Furqaan [25:63] Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman(Yang diredhai-Nya) ialah mereka yang berjalan dibumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini.

Surah al-Furqaan [25:63]

Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

Dari Abdullah bin Amr bin Ash, bahawasanya ada seorang yang bertanya kepada Rasulullah SAW: Bagaimanakah Islam yang baik itu? Beliau menjawab: Yaitu kamu memberi makanan dan mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan orang yang belum kamu kenal

(Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 11, 27, 5767 dan di dalam Riwayat Muslim, no. Hadith 56)

Jadi kalau dilihat daripada dalil-dalil yang diberikan ini ianya bersifat umum, TIDAK DIHADKAN HANYA KEPADA SESAMA UMAT ISLAM SAHAJA

Walaubagaimanapun, ada sebahagian ulama melarang seorang Muslim memberi salam kepada golongan yang bukan Islam berpandukan kepada sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

Kita akan pergi esok pagi menuju golongan Yahudi, dengan itu jangan mulakan salam terhadap mereka

(Sahih Muslim, Dar al-Jail, Beirut, Jil. 7, hlm. 5)

Hadith ini merujuk kepada peristiwa Nabi SAW memerintahkan kaum Muslimin supaya menyerang golongan Yahudi Bani Quraizah. Ini kerana mereka secara khianat melanggar perjanjian serta bersekutu dengan pihak musuh dikalangan musyrikin Quraisyh bagi menghapuskan umat Islam di Madinah.

Kita kene lihat konteks mengapa Nabi SAW melarang memulakan salam kepada golongan Yahudi. Ianya merujuk secara khusus kepada golongan Yahudi yang menunjukkan sikap permusuhan kepada orang Islam dan bukannya kepada sekalian golongan orang bukan Islam! Kita kene tengok konteks hadith tersebut yang spesifik kepada situasi tersebut dan bukan bersifat umum(pukul rata kepada semua non-Muslim).

Abu Umamah r.a seorang sahabat Nabi SAW selalu memberikan salam kepada sesiapa sahaja yang dia temui tanpa mengira Muslim ataupun tidak Muslim. Abu Umamah al-Bahili r.a berkata

“Salam merupakan ucapan untuk ummat kami dan keamanan kepada rakyat kamu yang bukan Islam…”

Ibn Mas’ud r.a seorang sahabat Nabi SAW yang terkenal pernah berkata mengenai salam kepada golongan bukan Islam

“Ia merupakan hak perhubungan antara teman”

Persoalan kedua: bolehkah orang Islam menjawab salam daripada orang bukan Islam?

Boleh atau tidak mari kita lihat apa firman Allah SWT dalam al-Quran merujuk kepada Surah An-Nisa [4:86] yang bermaksud:

Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat(seperti memberi salam) maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia(dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.

Surah An-Nisa [4:86]

Merujuk kepada ayat ini, umat Islam dikehendaki menjawab salam dengan tatacara yang lebih baik(bersifat umum) kepada semua dan bukan hanya kepada orang Islam sahaja. Mengulas ayat diatas, Imam Ibn Kathir melaporkan bahawa Hassan al-Basri berkata:

Memberi salam hukumnnya sunat, menjawab salam hukumnya wajib

[Tafsir Ibn Kathir, Jil 2, hlm. 370]

Walaubagaimanapun, ada hadith dalam al-Bukhari serta Muslim mengenai sekumpulan Yahudi mencerca kaum Muslimin dengan berkata: As-samu alaikum yang bermaksud: Mati ke atas kamu. Menerusi hadith yang diriwayatkan Ibn Umar r.a, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

Sesungguhnya orang-orang Yahudi apabila memberi salam kepada kamu, sebenarnya dia menyebut as-samu ‘alaika(mati ke atas engkau). Maka kamu jawablah wa’alaika(dan keatas engkau)

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Juga kalau kita lihat dalam riwayat yang lain daripada ‘Urwah bin Zubair bahawa Aisyah r.ha berkata yang bermaksud:

Sekumpulan Yahudi telah masuk menemui Rasulullah SAW lalu mengucapkan “As-Sam’alaikum (kematian keatas kamu). Aisyah berkata, aku memahami apa yang hendak dimaksudkan oleh mereka, maka aku berkata kepada mereka, “Wa’alaikumussam walla’nah”(Dan keatas kamu kematian dan laknat). Aisyah berkata Baginda SAW bersabda,”Bertenang wahai Aisyah! Sesungguhnya Allah SWT menyukai kelembutan dalam setiap perkara.” Lantas aku pun berkata, “Wahai Rasulullah! Tidakkah engkau dengar apa yang mereka ucapkan kepadamu?!” Rasulullah SAW menjawab, “Aku telah membalasnya dengan, wa’alaikum(Dan begitu juga ke atas kamu).” (Riwayat al-Bukhari no. 6024)

MasyaAllah, lihatlah bagaimana respon baginda Nabi SAW terhadap ucapan sekumpulan Yahudi tersebut yang “secara jelas” mendoakan kematian terhadap Nabi SAW dan hanya membalas dengan lafaz yang penuh beradab. Malah baginda Nabi SAW melarang Aisyah daripada menjawab dengan ucapan yang keas dan tidak sopan. Baginda mengingatkan kepada Aisyah agar mengamalkan kelembutan dan kesopanan walaupun terhadap mereka yang mendoakan kematian.

Sekali lagi, kita perlu lihat apakah konteks Nabi SAW menyatakan demikian. Nabi SAW menyatakan umat Islam seharusnya menjawab wa’alaika(dan keatas kamu juga) berikutan “ucapan yang jelas” yang mencerca dengan maksud Mati keatas kamu dari golongan Yahudi keatas orang Islam. Dalam konteks ini ungkapan yang seolah-olah menyerupai salam itu merupakan pendekatan untuk menamatkan cercaan itu(mengikut situasi itu) dan bukannya dalam konteks umum kepada semua orang bukan Islam. Akan tetapi sekiranya orang bukan Islam memberikan salam dengan jelas Assalamualaikum yang bermaksud memberikan penghormatan yang baik, maka balaslah dengan ucapan yang sama atau lebih baik.

Ibn Mas’ud r.a berkata : 

“Sekiranya Firaun mengatakan sesuatu yang baik kepadaku, nescaya aku akan membalasnya dengan ucapan yang baik.” (Ibn AbdulBarr, al-Tamheed, Jil. 17, hlm. 91)

Al-Marhum Syeikh bin Baz, mantan mufti Saudi Arabia berkata:

“Sekiranya seorang bukan Islam memberi salam kepada kita, seharusnya kita menjawab dengan pendekatan yang sama(yang diucapkannya). Sekiranya dia mengatakan Assalamualaikum, maka jawablah alaikum salam” (www.madeenah.com Fatawa nur’ala ad Darb, 16/10/07)

Kesimpulan : pengucapan salam merupakan sebahagian daripada bahagian ‘Muamalat’(urusan dunia) bukan Ibadah. Usul al-Fiqh mengatakan mengenai urusan “muamalat”: al-Asl fi al-Ashyaie al-Ibahah (Asal sesuatu adalah harus). Mungkin kita boleh menggunakan pendekatan dakwah dalam isu memberi salam ini agar Islam nampak lebih inklusif dan bukan bersifat eksklusif agar dapat menarik mereka(non-Muslim) untuk lebih mendekati Islam. Al-Quran memperingatkan kita menerusi ayat dari Surah al-Mumtahanah [60:8] yang bermaksud:

Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama(kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

Surah al-Mumtahanah [60:8]
Sekiranya konten ini bermanfaat, kongsikan kepada kenalan anda :