Posted on

Tanggal 28 September, pengalaman yang sangat bermakna di Kompleks Darul Hidayah, Kuala Lumpur. Program Kursus Intensif Fardhu Ain (KIFA) Mualaf, anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), telah menghimpunkan lebih kurang 30 orang peserta yang terdiri daripada mualaf yang baru memeluk Islam. Program ini bertujuan untuk memberikan bimbingan dan pemahaman asas tentang Islam kepada mereka yang masih baru dalam agama.

Saya mewakili Global UNITY Network telah dijemput untuk menyampaikan pengisian dalam slot pertama bertajuk Selamat Kembali ke Fitrah. Slot ini memberi saya peluang untuk mendekati para peserta dan berkongsi ilmu berkenaan perkara-perkara asas dalam Islam, terutamanya mengenai pemantapan akidah dan konsep ketuhanan dalam Islam. Sesi ini juga merangkumi penerangan tentang Rukun Iman, iaitu asas kepercayaan bagi setiap Muslim.

Sepanjang sesi tersebut, saya dapat melihat semangat yang luar biasa daripada para peserta. Mereka sangat energetik dan bersemangat untuk mempelajari ilmu agama. Walaupun kebanyakan daripada mereka baru memeluk Islam kurang dari setahun, semangat ingin tahu mereka jelas terlihat melalui soalan-soalan yang mereka kemukakan. Keinginan mereka untuk memahami Islam dengan lebih mendalam sangat menginspirasi.

Dalam perkongsian saya, saya menekankan tentang konsep ketuhanan yang berpusat kepada keesaan Allah, serta pentingnya memahami akidah yang betul sebagai asas iman. Selain itu, saya turut memperkenalkan mereka kepada konsep Rukun Iman yang menjadi pegangan setiap Muslim—beriman kepada Allah, malaikat, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, hari kiamat, dan qada’ serta qadar. Saya amat terharu dengan kesungguhan mereka untuk menjadi Muslim yang lebih baik dan lebih memahami agama yang baru mereka anuti ini.

Di akhir sesi, saya merasakan bahawa program seperti ini sangat penting, terutamanya bagi mualaf yang memerlukan sokongan dalam perjalanan mereka menuju keimanan yang lebih kukuh. Saya juga merasa sangat bersyukur diberi peluang untuk menyumbang sesuatu kepada usaha dakwah ini.

Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) kerana memberi ruang dan peluang kepada Global UNITY Network untuk sama-sama menyumbang dalam menyampaikan ilmu dan menyantuni para mualaf. Program seperti ini bukan sahaja bermanfaat untuk mereka yang baru mengenal Islam, malah ia juga mengukuhkan semangat persaudaraan dalam kalangan umat Islam. Semoga usaha murni ini diteruskan dan diberkati oleh Allah SWT.

Sekiranya konten ini bermanfaat, kongsikan kepada kenalan anda :