Alhamdulillah, semalam selesai sudah satu lagi edisi bulanan program street dakwah yang kami namakan sebagai UFO – UNITY Friendly Outreach, bertempat di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. Bermula seawal jam 8 pagi hingga 11 pagi, suasana taman yang biasanya hanya dipenuhi oleh pengunjung yang berjoging dan bersiar-siar, kali ini turut diserikan dengan aktiviti dakwah santai yang penuh kasih sayang dan nilai perpaduan.
Apa yang mengagumkan, seawal jam 8 pagi, para aktivis dakwah dan perpaduan sudah mula berkumpul di lokasi. Sambil bersarapan ringkas bersama-sama, mereka turut membuat persiapan terakhir seperti memasukkan buku, risalah mengenai Islam, biskut dan air mineral ke dalam beg khas untuk diberikan kepada mad’u non-Muslim yang bakal mereka santuni. Aktiviti UFO secara rasmi dimulakan dengan bacaan doa ringkas oleh Chief UFO, Bro Azrin, yang turut memberikan kata-kata semangat kepada para peserta sebelum mulakan aktiviti UFO.
Program ini bukan sekadar medan untuk menyampaikan risalah Islam kepada sahabat-sahabat non-Muslim, tetapi juga satu inisiatif perpaduan iaitu memupuk semangat harmoni dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa, agama dan budaya di Malaysia. Dalam suasana negara yang penuh dengan kepelbagaian, usaha sebegini amat penting untuk menyemai sikap saling menghormati dan memahami antara satu sama lain.
Lebih istimewa, peserta yang turun ke lapangan semalam terdiri daripada pelbagai latar belakang, ada pesara polis, suri rumah, pelajar universiti dan pensyarah universiti, jurutera, ahli perniagaan, pendakwah sepenuh masa, malah ada juga muallaf yang hadir dengan semangat berkobar-kobar untuk menyampaikan mesej Islam yang penuh kedamaian. Mereka juga datang dari pelbagai tempat, ada dari KL, Klang, Ampang dan bahkan ada juga yang sanggup datang dari Seremban! Betul-betul ‘respect’ semangat mereka ini. Semuanya datang dengan satu tujuan iaitu untuk menyumbang sesuatu dalam jalan dakwah dan perpaduan.
Antara luahan peserta yang pertama kali menyertai street dakwah, ada yang berkata:
Sebelum ni saya takut nak approach non-Muslim, sebab tak pernah buat dan selalu fikir mereka akan tolak atau marah. Tapi bila dah turun hari ni dan tengok cara team UNITY bimbing, sebenarnya mudah je. Sebenarnya non-Muslim ni sangat terbuka dan responsif. Saya rasa seronok pula buat UFO ni, rasa rugi tak join dari dulu.
Seorang lagi peserta yang menggunakan aplikasi DAWANITY sebagai persiapan berkata:
Saya belajar dakwah melalui aplikasi DAWANITY. Dalam aplikasi DAWANITY banyak tips dan formula yang sangat membantu saya belajar dakwah non-Muslim ni. Hari ni saya datang untuk buat latihan praktikal. Alhamdulillah, bila turun ke lapangan, saya betul-betul aplikasikan apa yang saya belajar.
Ada juga peserta yang berkongsi pengalaman menarik selepas berbual dengan beberapa pengunjung non-Muslim. Katanya:
Sebenarnya ramai non-Muslim nak tahu pasal Islam. Tapi mereka tak tahu nak cari maklumat kat mana. Bila ada aktiviti macam ni, kita dapat terus sampaikan info dan jawab persoalan mereka secara langsung. Ini memang sangat membantu.
Malah, maklum balas daripada mad’u non-Muslim juga sangat positif. Seorang pengunjung non-Muslim respon terhadap aktiviti ini:
Saya suka dengan pendekatan yang dibuat oleh team UNITY ini. Kami boleh tanya apa saja, dan mereka jawab dengan tenang dan penuh hormat. Aktiviti macam ni bagus untuk masyarakat Malaysia yang majmuk. Kita perlu lebih banyak program yang sebegini untuk kita lebih faham antara satu sama lain.
Malah yang lebih mencuit hati dan menyentuh rasa, boleh dikatakan hampir semua non-Muslim yang kami santuni semalam sangat teruja dan mahu bergambar – siap wefie dan selfie lagi bersama team UFO! MasyaAllah, satu bentuk penerimaan dan keterbukaan yang tidak ternilai, yang menunjukkan mereka sebenarnya selesa dan menghargai pendekatan kita yang mesra dan harmoni.
Dalam suasana pagi yang damai itu, walaupun hanya tiga jam, terasa ada roh perjuangan yang mengalir. Setiap senyuman yang diberikan, setiap risalah yang disampaikan, dan setiap perbualan yang berlaku – semuanya adalah detik-detik berharga yang hanya Allah yang mampu menilai ganjarannya.
Semoga program sebegini menjadi asbab kebaikan dan hidayah. Doakan agar usaha ini terus berkembang, dan lebih ramai lagi akan terinspirasi untuk turun ke lapangan membawa risalah Islam dengan penuh hikmah dengan kaedah harmoni.
Kepada yang belum pernah sertai, kami sangat alu-alukan anda untuk turun bersama kami di edisi akan datang. Tak perlu risau soal pengalaman – yang penting hati yang ikhlas, dan keberanian untuk melangkah. InsyaAllah, kami akan bimbing dan sokong anda sepanjang jalan.
Moga Allah terus pilih kita semua sebagai penyambung dakwah Nabi SAW. Amin ya Rabb.









