Dengan jadual kerja dakwah yang makin padat, Allah bukakan satu lagi ruang untuk kami bergerak — kali ini ke utara tanah air. Bumi Perlis menyambut kedatangan kami dengan aman damai dan hembusan angin yang lembut, seakan menyambut sebuah misi penting yang sedang kami pikul.
Undangan kali ini datangnya daripada sebuah NGO dakwah iaitu Perlis Centre of Wisdom yang prihatin dengan masa depan pelapis-pelapis pendakwah tanah air. Mereka mengatur satu Bengkel Latihan Dakwah bersama para mahasiswa UniSiraj Perlis, dan kami diberi amanah untuk mengendalikannya. Sebuah amanah yang kami sambut dengan doa dan harapan yang besar.
Sejak awal, saya dapat rasakan sesuatu yang istimewa dalam diri para peserta. Wajah-wajah muda, bersemangat dan dahagakan ilmu. Mereka bukan sahaja ingin tahu, tetapi ingin faham. Mereka bukan sekadar mencari ilmu dakwah, tetapi mencari makna dan tujuan sebenar di sebalik gelaran “pendakwah”.
Saya tekankan kepada mereka bahawa pendakwah masa kini tidak boleh hanya tertumpu pada masjid dan surau. Kami mahu membentuk mereka menjadi daie muda yang sentiasa turun ke lapangan, bersedia menyantuni masyarakat majmuk, yang berani menyampaikan Islam kepada non-Muslim, dan mendekatkan orang yang jauh daripada Islam dengan hikmah dan bijaksana.
Dalam bengkel itu juga, kami perkenalkan aplikasi DAWANITY sebagai alat sokongan utama untuk proses pembelajaran dakwah yang lebih fleksibel. Mereka diperkenalkan kepada konsep belajar secara OnDemand dan OnTheGo — belajar dakwah bila-bila masa, di mana-mana sahaja. Kami percaya, ilmu yang boleh diakses secara konsisten dan relevan dengan cabaran semasa akan menjadi kekuatan baharu dalam gerakan dakwah.
Namun, lebih dari itu, saya tekankan satu perkara yang amat penting: setiap daripada kita perlu berperanan PENDAKWAH bukan PENDAKWA. Seorang daie perlu memainkan peranan sebagai jambatan yang menghubung, bukan tembok yang memisah. Tugas Pendakwah adalah sebagai Jambatan yang menghubungkan:
✅ Antara orang Islam dengan yang bukan Islam, dengan pendekatan harmoni dan kasih sayang
✅ Antara orang Melayu dengan bukan Melayu, dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia
✅ Antara yang lahir Muslim dengan yang memeluk Islam atau biasanya dikenali sebagai Muallaf, dalam semangat ukhuwah dan bimbingan berterusan
✅ Antara pendakwah dengan sesama pendakwah, menyemai budaya saling lengkap melengkapi dan tidak menghukum perbezaan pendekatan
Saya tegaskan kepada mereka tentang pentingnya untuk tidak meninggalkan huruf ‘H’ dalam kata pendakwah. Tanpa ‘H’ di hujungnya, ia berubah menjadi pendakwa — dua perkataan yang hampir sama bunyinya, tetapi membawa maksud yang sangat berbeza. Pendakwah peranannya mendekatkan dan menyantuni, manakala pendakwa pula cenderung menghukum dan menghakimi.
Selesai bengkel, kami duduk berbual santai bersama para peserta. Dalam suasana yang tenang, salah seorang peserta tiba-tiba melontarkan kata-kata yang cukup menyentuh hati kami.
Saya kini faham, tugas saya bukan menghukum, tapi menghubungkan. Bukan jadi pendakwa, tapi jadi pendakwah.
Ungkapan ringkas itu kedengaran ikhlas, lahir dari hati yang benar-benar tersentuh. Ia memberi makna besar bahawa mesej kami benar-benar sampai.
Seorang lagi peserta berkongsi pandangan yang tidak kurang menyentuh hati. Dengan nada serius tetapi penuh semangat, dia berkata:
Dulu saya fikir dakwah hanya di masjid dan di surau. Tapi kini saya nampak lebih luas. Saya nak jadi daie yang turun ke lapangan, khususnya berdakwah kepada non-Muslim.
Luahan seperti inilah yang menjadi bukti bahawa usaha kecil kami di bumi Perlis bukan sia-sia. Benih kesedaran mula tumbuh, dan harapan baru untuk lahirnya barisan daie muda yang berani menyantuni masyarakat dengan hikmah kini semakin mekar.
Bengkel itu mungkin hanya berlangsung 2 hari, tetapi benih yang ditanam di hati mereka insyaAllah akan membesar dengan izin Allah. Ia adalah satu permulaan kepada perjalanan yang lebih panjang, lebih mencabar, tetapi juga lebih bermakna. Kami tinggalkan bumi Perlis dengan penuh syukur dan harapan. Harapan bahawa satu hari nanti, para peserta inilah yang akan memimpin masyarakat dengan hikmah, kasih sayang dan keberanian.
Kerana dunia ini tidak kekurangan suara. Ia kekurangan penghubung yang mendekatkan. Harapan para daie muda inilah, insyaAllah, yang akan menjadi jambatan-jambatan itu.








