Posted on

Pengalaman Berharga Peserta Kolej Profesional Baitulmal KL dalam Program Dakwah Lapangan – UFO (UNITY Friendly Outreach)

Baru-baru ini, Global UNITY Network telah dijemput oleh International Dakwah Institute PERKIM – KL (IDIP-KL) untuk mengendalikan sebuah program Dakwah Lapangan, yang biasa dikenali sebagai Street Dakwah, kepada 17 orang peserta dari Kolej Profesional Baitulmal KL. Program yang berlangsung selama dua hari bermula pada 17 – 18 Ogos ini merupakan satu usaha yang bertujuan memperkenalkan peserta kepada konsep dan praktikaliti dakwah kepada golongan non-Muslim.

Hari Pertama: Pengenalan dan Latihan Teori Dakwah

Pada hari pertama, para peserta telah diberikan pengenalan tentang dakwah serta latihan secara teori mengenai cara-cara untuk menjalankan dakwah lapangan. Mereka diajar tentang pendekatan yang sesuai dalam berinteraksi dengan golongan non-Muslim, serta bagaimana untuk menjawab persoalan-persoalan yang sering ditanyakan. Latihan teori ini bertujuan untuk memberi keyakinan kepada peserta sebelum mereka terlibat secara langsung dalam aktiviti dakwah di lapangan.

Hari Kedua: Street Dakwah di Dataran Merdeka

Hari kedua merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh semua peserta. Mereka berkumpul di Dataran Merdeka seawal jam 9 pagi untuk memulakan program UFO (UNITY Friendly Outreach) yang berlangsung sehingga jam 12 tengah hari. Di sini, para peserta telah berpeluang berinteraksi secara langsung dengan lebih 50 orang mad’u dari kalangan non-Muslim yang datang dari pelbagai latar belakang negara seperti China, Netherland, Italy, UK, India, Japan, Spain, serta penduduk tempatan yang non-Muslim.

Sepanjang program ini, para peserta bukan sahaja dapat menerangkan mengenai Islam kepada golongan non-Muslim, tetapi juga berpeluang untuk memperbetulkan salah faham yang sering kali timbul mengenai agama Islam. Para peserta dibantu oleh sukarelawan UNITY yang berpengalaman dalam UFO turut serta dalam aktiviti ini. Interaksi ini merupakan pengalaman pertama bagi kebanyakan peserta dalam berhadapan dengan non-Muslim dan menerangkan Islam kepada mereka. Mereka telah menerima pelbagai soalan dari non-Muslim, yang mana ini memberi mereka peluang untuk menguji pemahaman dan kemahiran dakwah yang telah dipelajari.

Pengalaman Berharga dan Kesedaran Peserta

Pengalaman yang diperoleh dalam program ini amat bermakna bagi para peserta. Mereka bukan sahaja belajar untuk berkomunikasi secara efektif dengan non-Muslim, tetapi juga menyedari kepentingan dakwah di lapangan dalam menyampaikan Islam dan memperbetulkan salah faham terhadap agama Islam. Rata-rata peserta menyatakan bahawa program ini telah membuka mata mereka tentang tanggungjawab besar yang perlu dipikul oleh setiap Muslim dalam menyebarkan mesej Islam kepada mereka yang belum mengenali agama ini dengan baik.

Program Dakwah Lapangan ini telah memberi impak yang mendalam kepada para peserta, dan diharapkan ia dapat menjadi permulaan kepada lebih banyak usaha dakwah yang dilakukan oleh generasi muda di Malaysia. Global UNITY Network amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan IDIP-KL dalam merealisasikan program ini, dan berharap ia akan menjadi inspirasi kepada institusi-institusi lain untuk menganjurkan program yang sama pada masa hadapan.

Gambar-gambar lain dibawah

Sekiranya konten ini bermanfaat, kongsikan kepada kenalan anda :