Alhamdulillah, pada 25 Disember yang lalu saya berpeluang meluangkan masa bersama barisan mahasiswa di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak atas jemputan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Cawangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Gombak untuk mengendalikan sebuah Bengkel Street Dakwah. Bertempat di Mini Auditorium UIAM, suasananya terasa sangat hidup, bukan sekadar hadir sebagai peserta, tetapi jelas terpancar semangat anak muda yang mahu memahami dakwah secara lebih realistik dan berani turun ke lapangan.
Dalam bengkel ini, saya mewakili Thinkerz Solutions berkongsi tentang satu hakikat penting: dakwah kepada non-Muslim bukan perkara sampingan, tetapi satu tanggungjawab besar yang memerlukan kebijaksaan dan harmoni tanpa provokasi. Kami berbincang secara santai tentang cabaran sebenar street dakwah, bagaimana emosi perlu dijaga, niat perlu diperbetulkan, dan mesej Islam mesti disampaikan dengan hikmah, bukan dengan nada menghakimi atau memaksa. Dakwah yang berkesan bukan untuk “menang hujah”, tetapi untuk membuka hati.
Perbincangan menjadi lebih menarik apabila kami menyentuh aspek praktikal street dakwah. Bagaimana memulakan perbualan, bagaimana membaca situasi, dan bagaimana menghentikan perbincangan dengan baik apabila keadaan tidak sesuai. Semua ini penting kerana dakwah di jalanan bukan ruang selesa, tetapi ruang latihan jiwa dan akhlak. Para peserta kelihatan aktif bertanya dan berkongsi pandangan, menandakan mereka benar-benar mahu bersedia sebelum turun berdakwah.
Dikesempatan dalam bengkel ini juga, saya berkongsi kepada peserta untuk melihat dakwah dari sudut yang lebih luas, iaitu dakwah digital. Saya kongsikan bagaimana teknologi AI boleh dimanfaatkan sebagai alat sokongan untuk merancang mesej, menyusun idea, dan menghasilkan konten dakwah yang lebih tersusun dan relevan dengan audiens hari ini. AI bukan untuk menggantikan peranan pendakwah, tetapi untuk membantu pendakwah bekerja dengan lebih strategik, terancang dan berimpak.
Apa yang menggembirakan, bengkel ini bukan sekadar berhenti di bilik auditorium. Ia menjadi ruang persediaan buat para peserta yang merancang untuk turun melakukan street dakwah di sekitar Kuala Lumpur pada ambang tahun baharu, 31 Disember nanti. Mereka bukan sahaja membawa semangat, tetapi turut membawa perancangan, kefahaman dan kesedaran tentang adab serta tanggungjawab sebagai penyampai mesej Islam.
Saya benar-benar tersentuh melihat kesungguhan mereka. Dalam dunia yang penuh cabaran, fitnah dan salah faham terhadap Islam, masih ada anak muda yang memilih untuk bangkit menyampaikan kebenaran dengan cara yang lembut dan berhemah. Saya mendoakan agar setiap langkah dakwah mereka dipermudahkan oleh Allah SWT, dilindungi sepanjang usaha, dan diterima sebagai amal soleh yang besar nilainya di sisi-Nya. Semoga usaha kecil ini menjadi asbab hidayah dan membuka lebih banyak pintu kebaikan, insya-Allah.









