Ada tak anda ditanyakan persoalan sebegini: Kenapa orang Islam yang buat jahat sekalipun akhirnya boleh masuk Syurga, tetapi orang kafir walaupun mereka buat banyak kebaikan macam mana pun tetap akan masuk Neraka? Soalan ini sering bermain di fikiran ramai orang terutamanya non-Muslim, dan kalau difikirkan secara kasar, nampak macam tak adil, kan? Tapi jom kita kupas dengan lebih mendalam untuk faham logik di sebalik konsep ini dalam Islam.
Syurga dan Neraka: Siapa yang Tentukan?
Pertama sekali, kita perlu ingat bahawa Syurga dan Neraka adalah milik Allah SWT. Syurga dan Neraka bukan milik kita, jadi kita tak ada hak untuk menentukan siapa yang layak masuk Syurga atau Neraka. Semua itu adalah hak mutlak Allah SWT yang Maha Adil dan Maha Bijaksana.
Namun, Allah SWT tidak sekali-kali akan menganiaya hamba-hambaNya walaupun sebesar zarah. Setiap amalan, sekecil apa pun, akan dikira dan dinilai oleh Allah dengan seadil-adilnya. Seperti yang dinyatakan dalam Surah An-Nisa [4:40], yang bermaksud:-
Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan kalaulah (amal yang seberat zarrah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisiNya, pahala yang amat besar.
Surah An-Nisa[4:40]
Jadi, bila kita berbicara tentang keadilan dalam konteks Syurga dan Neraka, kita perlu sedar bahawa pemahaman kita sebagai manusia sangat terbatas. Allah SWT Maha Mengetahui dan tidak akan berlaku zalim terhadap hamba-hamba-Nya. Allah SWT Maha Adil. Dan kalau kita masuk syurga pun adalah atas Rahmat Allah SWT yang juga bersabitkan dengan amalan kita. InsyaAllah.

Non-Muslim: Dua Kategori yang Berbeza
Bila kita cakap tentang orang bukan Islam, penting untuk kita faham bahawa mereka terbahagi kepada dua golongan. Saya sudah pun terangkan dengan terperinci berkenaan kategori non-Muslim ini dalam post saya yang lepas iaitu Bolehkah non-Muslim Masuk Syurga?
- Golongan pertama: Orang bukan Islam yang sudah menerima penerangan JELAS tentang Islam tetapi memilih untuk menolak, menafikan, atau mendustakan kebenaran. Inilah golongan yang kita sebut sebagai “kafir”.
- Golongan kedua: Orang bukan Islam yang belum pernah menerima penerangan yang jelas tentang Islam. Mereka ini tidak dipertanggungjawabkan atas apa yang mereka tidak tahu, tetapi mereka masih dipertanggungjawabkan atas petunjuk-petunjuk yang Allah SWT berikan kepada mereka melalui fitrah dan akal.
Namun, dalam artikel ini, kita akan fokus kepada golongan pertama iaitu orang Kafir — mereka yang sudah menerima dengan JELAS penerangan tetang ajaran Islam tetapi tetap memilih untuk menolaknya.
Kenapa Kafir yang Buat Baik Tetap Masuk Neraka?
Persoalan besar di sini ialah kenapa orang kafir, walaupun buat banyak kebaikan, tetap masuk Neraka? Untuk menjawab soalan ini, kita perlu faham bahawa dalam Islam, Syirik atau menduakan Allah adalah DOSA yang PALING BESAR. Allah SWT berfirman dalam Surah An-Nisa [4:48] dan [4:116], bahawa Allah tidak akan mengampunkan dosa Syirik, tetapi dosa selain daripada itu mungkin diampunkan bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya.
Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.
Surah An-Nisa[4:48] dan [4:116]
Segala kebaikan yang dilakukan oleh orang kafir tidak akan diterima oleh Allah SWT kerana mereka tidak melakukannya kerana Allah. Mereka mungkin buat kebaikan atas dasar kemanusiaan, tetapi tanpa niat untuk Allah, kebaikan itu tidak ada nilai di sisi-Nya. Ini kerana dalam Islam, niat adalah asas kepada semua amalan. Kalau niat kita tidak kerana Allah, maka amalan itu takkan diterima.
Contoh-Contoh Analoginya…
Untuk lebih memahami konsep ini, mari kita lihat dua analogi yang boleh membantu.
1. Analoginya Seperti Pekerja Kedai
Bayangkan anda adalah pemilik sebuah kedai, dan anda mengambil dua pekerja—A dan B. Kedua-dua pekerja anda ini masa mereka datang untuk temuduga, anda sudah terangkan dengan JELAS dan terperinci tentang peraturan kerja, waktu kerja dari jam 9 pagi sehingga 5 petang. Setiap pagi bila masuk kerja, kena bersihkan kedai, mop lantai, layan customer kedai dengan baik dan yang PALING UTAMA dan PALING PENTING, tiada maaf sekiranya melanggar peraturan paling utama ini, iaitu setiap hari duit jualan WAJIB masukkan duit jualan ke dalam akaun syarikat. Anda telah berikan dengan JELAS nama bank, nombor akaun syarikat alamat bank dan sebagainya kepada kedua-dua pekerja tersebut.
Pekerja A bekerja dengan sangat baik—datang awal, layan pelanggan dengan mesra, dan jaga kebersihan kedai. Tapi ada satu masalah besar—dia tak pernah masukkan duit jualan ke dalam akaun syarikat, sebaliknya dimasukkan ke akaun lain.
Pekerja B pula, sebaliknya, selalu masuk kerja lewat, layan pelanggan pun ala kadar, kadang-kadang boleh bergaduh dengan pelanggan pulak tu dan tak berapa kemas dalam kerja. Tapi, dia tak pernah gagal memasukkan duit jualan ke dalam akaun syarikat.
Bila tiba masa nak bayar gaji, apa yang anda akan buat? Sudah tentu, anda takkan bayar gaji kepada pekerja A walaupun prestasi kerjanya tiptop, sebab dia dah buat kesalahan besar—seleweng duit syarikat. Malah, anda mungkin akan laporkan kepada pihak Polis untuk tangkap dan penjarakan pekerja A.
Pekerja B pula, walaupun prestasi kerjanya tak begitu baik, anda tetap akan bayar gajinya sebab dia tak langgar peraturan utama. Anda mungkin beri amaran atau potong gaji dia sikit, tapi anda takkan suruh Polis tangkap dan penjarakan dia sebab dia tidak melakukan kesalahan besar iaitu menyelewang duit syarikat!
Nampak tak perbezaannya? Dalam analogi ini, pekerja A boleh diibaratkan sebagai orang kafir yang buat banyak kebaikan tapi tak sembah Allah. Segala kebaikannya yang dia buat tidak bermakna sebab dia dah buat kesalahan besar—Syirik. Pekerja B pula ibarat orang Islam yang mungkin buat dosa, tapi tetap sembah Allah. Dosa-dosanya mungkin akan dihukum, tapi akhirnya dia tetap akan masuk Syurga sebab dia tidak Syirik kepada Allah SWT.
2. Analoginya Seperti Peperiksaan SPM
Satu lagi analogi sebagai contoh lain ialah peperiksaan SPM. Dalam SPM, ada subjek-subjek teras yang wajib lulus. Contohnya, kalau seseorang pelajar dapat 8A dalam 9 mata pelajaran, tapi hanya satu je mata pelajaran yang dia gagal iaitu Bahasa Melayu (subjek teras), dia tetap akan dianggap gagal SPM.
Sebaliknya, pelajar lain yang mungkin hanya dapat 3B, 3C, dan 3D, tapi lulus semua subjek teras, dia tetap akan lulus SPM. Ini kerana yang paling penting ialah tidak gagal dalam subjek teras.
Dalam konteks ini, Syirik kepada Allah adalah seperti gagal dalam subjek teras. Walaupun seseorang itu banyak buat kebaikan (macam dapat A dalam subjek lain), kalau dia Syirik, kebaikannya takkan diterima, dan dia tetap dianggap gagal di akhirat.
Kesimpulan: Pentingnya Untuk Tidak Syirik
Kesimpulannya, dalam Islam, yang paling penting ialah jangan Syirik kepada Allah SWT. Syirik adalah dosa yang paling besar, dan sesiapa yang mati dalam keadaan syirik, tempatnya di Neraka. Walaupun seseorang buat banyak kebaikan, kalau dia tak sembah Allah, kebaikan itu takkan diterima. Maka di akhirat nanti orang-orang yang Syirik dalam dikalangan orang-orang yang rugi! Sebaliknya, walaupun seseorang Muslim itu berdosa, kalau dia tidak Syirik, dia masih berpeluang untuk masuk Syurga dengan rahmat Allah SWT.
Jadi, sebelum kita mati, pastikan kita sembah hanya Allah SWT yang mencipta kita, bukan sembah makhluk-Nya. Inilah asas yang menentukan nasib kita di akhirat nanti. Sembahlah Allah dengan ikhlas, dan jauhilah Syirik agar kita semua berpeluang menikmati Syurga-Nya yang abadi.