Posted on

Terdapat persoalan yang biasa dari kalangan non-Muslim malah juga ada segelintir orang Islam terkeliru dengan persoalan seperti ini: “Bolehkah non-Muslim masuk Syurga?” Jadi, macam mana kita nak jawab? Baik, saya akan jelaskan satu-persatu. Jom kita mula!

Syurga dan Neraka bukan milik kita!

Pertama sekali, kita perlu faham bahawa Syurga dan Neraka bukan milik kita. Bukan kita yang tentukan siapa yang layak masuk Syurga atau Neraka. Yang menentukan siapa masuk Syurga atau Neraka adalah pemilik Syurga dan Neraka tersebut iaitu Allah SWT, Tuhan Sekalian Alam. Hanya Allah SWT, yang tentukan. Jadi, jangan kita cepat menghukum siapa yang layak dan tidak layak, kerana itu adalah urusan Allah SWT.

Non-Muslim belum tentu masuk Neraka dan Orang Islam belum tentu masuk Syurga!

Ada yang berpendapat bahawa non-Muslim confirm masuk Neraka dan Orang Islam confirm masuk Syurga. Sebenarnya belum tentu! Mari kita lihat dengan lebih mendalam.

Kategori Non-Muslim

Tidak semua non-Muslim adalah sama. Saya boleh bahagikan mereka kepada dua kategori utama:

  1. Kafir

Dalam bahasa Arab, kafir berasal dari perkataan “kafarah” yang bermaksud menutup. Dalam konteks perbincangan kita, kafir merujuk kepada orang yang telah menerima penerangan yang JELAS mengenai Islam, tetapi mereka tetap menolak, menafikan, dan mendustakan keterangan tersebut. Orang seperti ini disebut sebagai Kafir. Menurut Islam, jika seseorang mati dalam keadaan Kafir, maka dia akan dihukum masuk Neraka.

  1. Non-Muslim yang Tidak Pernah Mendapat Penerangan yang Jelas Mengenai Islam

Selain itu, terdapat juga jenis non-Muslim yang tidak pernah mendapat penerangan yang JELAS dan BENAR mengenai Islam. Contohnya, bayangkan seseorang yang tinggal di negeri Congo, dari kecil hingga dia tua, dia tidak pernah mendengar tentang Islam, tidak pernah bertemu dengan orang Islam, dan tidak pernah mendapat maklumat yang betul mengenai Islam.

Apa yang dia tahu tentang Islam hanyalah melalui media massa, yang sering kali melaporkan maklumat yang salah dan tidak benar mengenai Islam. Akibat daripada maklumat yang salah ini, dia menolak Islam. Kalau kita berada dalam situasi yang sama macam dia, kita pun mungkin akan tolak Islam yang begitu? Betul tak? Sebab maklumat yang tidak betul mengenai Islam!

Jadi, orang seperti ini tidak boleh dianggap sebagai kafir kerana penerangan yang JELAS dan BENAR tidak sampai kepada dia. Malah, orang Islam yang tahu kebenaran tetapi tidak pernah menjelaskan kepada golongan ini tentang siapakah Tuhan yang sebenar, iaitu Allah SWT, dan tentang Nabi Muhammad SAW sebagai Nabi untuk seluruh umat manusia. Orang Islam juga yang menjadi salah satu PUNCA mereka tidak mendapat keterangan yang JELAS dan BENAR! Orang Islam juga bertanggungjawab dalam hal ini!

Golongan ini tidak mengucapkan dua kalimah syahadah bukan kerana mereka menolak, tetapi kerana mereka tidak tahu dan tidak dapat keterangan yang JELAS dan BENAR mengenai Islam. Jadi, adakah mereka patut disebut sebagai Kafir? Belum tentu lagi.

Petunjuk dari Allah SWT

Namun begitu, kalau kita merujuk kepada Surah Fusilat [41:53], Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar.

Surah Fusilat [41:53]

Dari ayat ini, jelas menunjukkan bahawa Allah SWT memberi petunjuk kepada seluruh umat manusia. Setiap manusia akan menerima petunjuk daripada Allah dengan cara yang berbeza-beza. Ada yang mendapat petunjuk melalui fitrah mereka, ada yang melalui ilham, pembacaan atau pengkajian, dan ada juga yang melalui pemerhatian terhadap alam sekeliling yang terbentang luas.

Petunjuk-petunjuk ini adalah cara Allah SWT untuk menunjukkan kebenaran-Nya kepada manusia. Bagaimanapun, sama ada mereka menerima atau menolak petunjuk tersebut, mereka akan dipertanggungjawabkan atas pilihan mereka. Setiap individu mempunyai tanggungjawab untuk mencari kebenaran dan membuat pilihan yang tepat berdasarkan petunjuk yang diberikan.

Dengan petunjuk-petunjuk yang Allah telah berikan kepada mereka, adakah mereka menerima ataupun menolak, makanya mereka akan dipertanggungjawabkan atas pilihan mereka. Allah tidak akan menghukum hamba-hamba-Nya selagi tidak ada keterangan yang jelas dan benar sampai kepada mereka.

Merujuk kepada Surah al-Isra’ [17:15], Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).

Surah al-Isra’ [17:15]

Ayat ini menjelaskan bahawa Allah tidak akan menghukum seseorang tanpa terlebih dahulu memberikan penjelasan yang jelas dan benar melalui rasul-rasul-Nya.

Sebagai contoh lain, dalam Surah al-Mulk [67:8-9], Allah berfirman yang bermaksud:

… Tidakkah kamu pernah didatangi seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran (di dunia dahulu)? Mereka menjawab: ‘Ada! Sebenarnya telah datang kepada kami seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran, lalu kami dustakan…

Surah al-Mulk [67:8-9]

Ini menunjukkan bahawa orang-orang yang dicampakkan ke dalam Neraka adalah mereka yang telah menerima keterangan yang JELAS dan BENAR tetapi tetap mendustakannya. Bagi mereka yang tidak pernah menerima keterangan yang JELAS dan BENAR, mereka akan diuji berdasarkan petunjuk-petunjuk yang Allah SWT berikan kepada mereka.

Allah SWT adalah Maha Adil. Merujuk kepada Surah An-Nisa [4:40], Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu).

Surah An-Nisa [4:40]

Ini menunjukkan bahawa Allah tidak akan menzalimi atau menganiaya hamba-hamba-Nya, walaupun sebesar zarah sekalipun.

Orang Islam Belum Tentu Masuk Syurga!

Dan kita orang Islam belum tentu kita masuk Syurga tau! Masuk Syurga bukan bergantung kepada label kita Islam. Sebagai contoh, kalau kita di Malaysia, kita ada MyKad yang tertulis Islam, betul? Semata-mata dalam MyKad ada label Islam bukan bermakna automatik kita masuk Syurga! NOOO!

Di Akhirat nanti, adakah Malaikat akan berkata, “Ok, beratur sini semua orang Malaysia! Tunjukkan MyKad kamu! Mana-mana yang ada tertulis Islam dalam MyKad masuk Syurga, mana-mana yang tak ada tulis Islam masuk Neraka!” Macam tu ke?! Tidak!

Kadang-kadang, dalam MyKad kita tertulis Islam tetapi amalan kita tidak mengikut ajaran Islam. Ada yang syirik kepada Allah SWT, ada yang tidak mengikut perintah Allah dan melakukan perkara-perkara yang Allah larang!

Hanya kerana kita dilabel sebagai Islam, itu tidak menjamin tempat kita di Syurga. Amalan dan ketaatan kita kepada ajaran Allah yang akan menentukan nasib kita di akhirat kelak. Hanya dengan rahmat Allah bersabit dengan amalan soleh kita dapat memasuki Syurga. Oleh itu, kita harus sentiasa memperbaiki diri dan berusaha untuk mengikut ajaran Islam dengan sebenar-benarnya.

Kesimpulan

Jadi, penjelasan ini memberikan jawapan kepada statement saya pada awal-awal tadi, iaitu orang Islam belum tentu masuk Syurga dan non-Muslim belum tentu masuk Neraka! Masing-masing akan diuji berdasarkan kepada petunjuk-petunjuk yang Allah telah berikan kepada mereka, sama ada mereka menerimanya atau menolaknya.

Orang Islam belum tentu masuk Syurga dan non-Muslim belum tentu masuk Neraka!

Masuk Syurga adalah atas rahmat Allah SWT yang berkaitan dengan amalan kita. Oleh itu, yang penting adalah kita memainkan peranan kita dengan sebaik mungkin. Kita perlu berusaha untuk menjadi hamba Allah yang taat, mengikuti ajaran-Nya dan memperbaiki diri kita setiap hari.

Marilah kita sama-sama memperbanyakkan amalan kebaikan dan memohon rahmat serta petunjuk dari Allah SWT agar kita semua ditempatkan dalam kalangan mereka yang berjaya di dunia dan akhirat. Ingatlah, Syurga dan Neraka adalah hak Allah SWT, dan hanya dengan rahmat-Nya kita dapat mencapai kebahagiaan yang kekal abadi.

Harap artikel ini dapat memberi pencerahan dan manfaat kepada semua pembaca. Semoga kita semua mendapat rahmat dan hidayah daripada Allah SWT. Wallahu a’lam.

Sekiranya konten ini bermanfaat, kongsikan kepada kenalan anda :