Posted on

Persoalan : Seringkali ada persoalan yang biasa ditanya, kalau Tuhan orang Islam(merujuk kepada Allah SWT) itu adil, kenapa ada orang yang lahir dalam keluarga Islam, dan ada yang lahir dalam keluarga non-Muslim, sebab bagi yang lahir dalam keluarga Islam, dia akan hidup dalam Islam dan mati juga dalam Islam dan maka dia akan masuk Syurga. Manakala yang lahir dalam keluarga bukan Islam, hidup dalam non-Muslim, dan kebanyakan nya akan mati pun dalam keadaan kafir makanya mereka akan masuk neraka. Adil ke Tuhan macam tu? Sebab yang mana yang lahir dalam Islam secara automatik akan masuk Syurga dan yang mana lahir dalam keluarga non-muslim automatik akan masuk Neraka. INI TIDAK ADIL! 

Ini antara persoalan yang biasanya ditanya oleh non-Muslim terhadap Islam. Tetapi kita tidak boleh menyalahkan non-Muslim atas pelbagai salah tanggapan yang berlaku. Sebaliknya kita perlu memainkan peranan dan tanggungjawab untuk menjawab persoalan mereka dan memperbetulkan salah tanggapan daripada mereka. Makanya kita harus ada kebolehan untuk menjawab persoalan-persoalan daripada mereka dengan berhikmah dan bijaksanan melalui pendekatan yang harmoni.

Jawapan : Pertama-tamanya Syurga dan Neraka bukan milik kita, bukan kita yang tentukan untuk siapa masuk Syurga atau siapa yang masuk Neraka. Syurga dan Neraka adalah milik Allah SWT dan hanya Allah SWT yang tentukan siapa yang akan layak masuk Syurga atau Neraka. Dan kalau kita masuk syurga pun adalah atas Rahmat Allah SWT yang juga bersabitkan dengan amalan kita. InsyaAllah. 

Kedua, dalam agama Islam, yang penting bukan lahir dalam keluarga apa, yang penting mati dalam keadaan apa.

Dalam Islam, yang penting bukan lahir dalam keluarga apa, yang penting mati dalam keadaan apa!

Ada orang boleh jadi lahir dalam keluarga Islam akan tetapi mungkin mati dalam keadaan non-Muslim iaitu Kafir. Dan ada orang yang mungkin lahir dalam keluarga non-Muslim tetapi mati dalam keadaan beriman. Kalau kita singkap sirah Nabi-Nabi, isteri dan anak Nabi Nuh a.s tidak beriman kepada Allah SWT. Bapanya seorang Nabi tu, tapi anak-anak dan isterinya tidak beriman. Makanya disini Iman tidak diwarisi. Kita ambil contoh yang lain iaitu Nabi Ibrahim a.s, bapanya seorang pengukir batu berhala akan tetapi anaknya iaitu Nabi Ibrahim a.s adalah salah seorang Nabi seorang Rasul, antara Rasul yang terhebat dalam Islam. Jadi disini, tidak penting lahir dalam keluarga apa, sebagai contoh tadi walaupun lahir dalam keluarga Islam, bapanya seorang Imam, hatta seorang Nabi sekalipun, belum tentu anak dijamin masuk Syurga, dan walaupun bapanya seorang kafir hatta pembuat batu berhala sekalipun belum tentu anaknya dijamin masuk Neraka. Allah SWT akan memberikan petunjuk kepada semua manusia merujuk kepada Surah Fusilat [41:53] yang bermaksud

Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar…

Surah Fusilat [41:53]

Jadi disini lahir dalam keluarga apa tidak menentukan kita masuk Syurga atau Neraka, apa yang penting adalah apabila sudah tiba petunjuk dan keterangan yang JELAS yang BENAR mengenai Islam, apakah tindakan kita samada nak terima atau tidak. Maka tidak berlaku ketidakadilan disini.


Merujuk kepada Surah An-Nisa[4:40] yang bermaksud

Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu)…

Surah An-Nisa[4:40]

Allah SWT tidak akan menzalimi hamba-hambanya. Allah SWT Maha Adil.

Sekiranya konten ini bermanfaat, kongsikan kepada kenalan anda :