Dalam kehidupan kita seharian hidup didalam masyarakat majmuk yang berbilang bangsa, kaum dan agama, sering kali kita dengar orang keliru antara Islam dan Muslim. Kekeliruan ini terutama berlaku di kalangan non-Muslim yang mungkin tidak begitu faham konsep-konsep asas dalam agama Islam ini. Jadi adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai umat Islam, perlu memberikan jawapan dan menjelaskan perkara yang sebenar dengan berhikmah. Ramai yang anggap Islam dan Muslim itu sama. Sebenarnya, ada perbezaan penting antara kedua-duanya. Dalam post saya sebelum ini, saya telah menjelaskan apa itu Islam. Boleh rujuk di sini: Apa Itu Islam?. Kali ini, saya akan fokus untuk menjelaskan apa beza antara Islam dan Muslim untuk merungkai kekeliruan yang timbul.
Apa Itu Muslim?
Muslim adalah seseorang yang menyerah diri dan taat kepada perintah Tuhan dengan rela hati dan secara menyeluruh mengikut cara yang benar dan authentic. Dalam bahasa Inggeris, ANYONE who truly and fully obeys the Almighty God in an authentic way is a Muslim. Penting untuk kita fahami bahawa seorang Muslim tidak semestinya orang Arab atau orang Melayu.
Sesiapa sahaja boleh menjadi Muslim, tidak kira dia berasal dari mana. Seorang Muslim boleh jadi daripada suku kaum Cina, India, Kadazan, Iban, Jepun, Korea, Uganda, Zimbabwe, Eropah, Amerika, Australia, New Zealand, atau Eskimo. Selagi mana dia taat kepada perintah Tuhan dengan rela hati dan secara menyeluruh mengikut cara yang authentic dan benar, dia adalah seorang Muslim!
Menjadi Muslim bukanlah hak milik kaum atau bangsa tertentu sahaja. Muslim adalah untuk semua manusia, menjadikan Islam ini agama yang universal untuk semua manusia!
Apa Beza Islam dengan Muslim?
Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah sebagai panduan hidup yang lengkap dan menyeluruh bagi umat manusia. Manakala, Muslim pula merujuk kepada individu yang menganut dan mengamalkan agama Islam. Kita perlu jelas membezakan antara Islam sebagai agama dengan Muslim sebagai penganut agama Islam. Kadangkala, Muslim yang menganut agama Islam tidak beramal dengan ajaran agama Islam sepenuhnya. Oleh itu, kita tidak seharusnya menyalahkan agama Islam atas perbuatan Muslim yang tidak mengikut ajaran Islam!
Untuk menilai ajaran agama Islam, kita perlu merujuk kepada sumbernya iaitu al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad SAW. Sunnah merangkumi tradisi Nabi Muhammad SAW, termasuk kata-kata dan perbuatan baginda. Dalam usaha berdakwah, kita tidak seharusnya mempertahankan tindakan Muslim yang tidak taat kepada ajaran Islam. Yang perlu kita pertahankan adalah agama Islam itu sendiri, bukan orang Islam yang melakukan kesalahan atau amalan yang bercanggah dengan ajaran Islam.
Kesimpulannya, penting untuk kita memahami perbezaan antara Islam dan Muslim bagi mengelakkan kekeliruan yang sering berlaku. Islam adalah agama yang sempurna dan menyeluruh, manakala Muslim adalah penganut agama tersebut. Kadangkala, tindakan Muslim mungkin tidak mencerminkan ajaran Islam yang sebenar. Oleh itu, dalam menilai Islam, kita perlu berpandukan kepada al-Quran dan Sunnah, dan bukan semata-mata pada tindakan penganutnya. Dan kita sebagai umat Islam perlulah mengamalkan Islam dengan menyeluruh berpandukan al-Quran dan Sunnah. Kita harus beramal dengan PEMAHAMAN berdasarkan Ilmu bukan atas dasar ikut-ikutan turun temurun semata-mata. Juga kita harus menunjukkan akhlak yang baik agar dapat mencerminkan ajaran Islam yang indah. Kerana kita sebagai umat Islam, kita adalah Duta atau Ambassador terhadap agama Islam. Baik tingkah laku kita baiklah Islam di mata non-Muslim. Kalau buruknya tingkah laku kita, takut-takut Islam yang menjadi mangsa.