Kita telah mengupas beberapa aspek penting mengenai Apa Itu Islam dan Apa Beza Islam dengan Muslim dalam penulisan sebelum ini. Sekarang, marilah kita meneruskan perbincangan dengan meneliti manusia sebagai makhluk ciptaan Allah.
Manusia adalah makhluk yang amat istimewa di sisi Allah SWT. Dia menciptakan manusia dengan akal fikiran yang membezakan manusia dengan makhluk-makhluk lain di alam ini. Allah memberikan akal ini kepada manusia untuk memahami perintah-Nya dan membezakan antara yang benar (haq) dan yang salah (batil)
Tidak ada satu perkara pun yang berlaku tanpa izin Allah SWT. Tidak ada sehelai daun pun yang jatuh ke tanah, tanpa keizinan-Nya. Namun demikian, Allah memberikan manusia kebebasan untuk memilih antara taat atau tidak taat kepada perintah-Nya.
Apabila manusia memilih untuk taat kepada perintah Allah, kita akan hidup dalam keadaan harmoni. Harmoni ini meliputi hubungan harmoni yang baik antara kita dengan Pencipta kita : Allah SWT, harmoni kita dengan sesama manusia, dan juga harmoni dalam diri kita sendiri. Kita akan mencapai ketenangan dan keseimbangan hidup apabila kita hidup dalam ketaatan kepada Allah. Namun, jika manusia memilih untuk tidak taat, maka kekacauan dan konflik akan berlaku di muka bumi ini.
Sekiranya kita tanya kepada semua termasuk non-Muslim juga, adakah mereka bersetuju bahawa hari ini terdapat banyak kesengsaraan di atas muka bumi ini? Mereka semua sebulat suara mengatakan Setuju! Kesengsaraan yang berlaku adalah disebabkan oleh manusia sendiri yang memilih untuk tidak taat kepada perintah Tuhan!
Bayangkan jika setiap manusia di muka bumi ini taat kepada perintah Allah SWT. Tidak ada seorang pun yang tamak, tidak ada seorang pun yang iri hati ataupun dengki, tidak ada siapa-siapapun yang mencuri, merompak, membunuh, tidak ada siapa pun yang bagi rasuah dan makan rasuah. Mana yang kuat akan bantu yang lemah, yang kaya akan bantu yang miskin, yang muda menghormati yang tua, yang tua menyayangi yang muda. Agak-agak apa akan berlaku? Betul! Ini akan menjadi umpama syurga diatas muka bumi! It is like heaven on earth! Penuh dengan kedamaian dan kesejahteraan. Jadi sebenarnya, solusi kepada segala permasalahan yang berlaku di dunia ini adalah dengan kembali kepada perintah Allah dan taat secara menyeluruh dengan rela hati dan ikhlas serta meninggalkan segala larangan-Nya.
Kesimpulannya, sebagai manusia yang dianugerahkan akal oleh Allah, kita perlu menggunakan akal ini untuk memilih taat kepada Pencipta-Nya. Dengan cara ini, kita tidak hanya mendapat kebaikan di dunia ini, tetapi juga kebahagiaan abadi di akhirat kelak. Semoga kita semua dapat mengambil iktibar dari pengajaran ini agar manusia kembali kepada perintah pencipta kita iaitu Allah dengan taat dan patuh dengan rela hati dengan cara yang autentik