Ya saya mengaku, dulu saya kurang kesedaran dalam berdakwah, walaupun saya mempunyai peluang untuk berdakwah kepada kawan-kawan non-muslim saya. Saya tidak terfikir langsung pun nak sampaikan mengenai kebenaran Islam dan keindahan Islam kepada mereka. Kami belajar bersama, kami bermain bersama, kami dalam satu pejabat bekerja bersama, dah jadi rapat ada yang jadi kawan baik pun.. Tapi saya tidak terlintas pun nak menceritakan tentang Islam pada mereka. Sebab apa? Sebab tiada kesedaran untuk menyampaikan Islam pada mereka. Kita mendapat Islam mewarisi Islam daripada turun-temurun daripada ayah ibu kita. Kita lahir-lahir sudah Islam. Alhamdulillah. Kita tahu satu-satunya agama disisi Allah adalah Islam, merujuk kepada Surah ali-Imraan [3:19] yang bermaksud “Sesungguhnya Agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam” akan tetapi mengapa tidak kita sampaikan kebenaran Islam pada mereka? Mengapa kita tidak ajak mereka sama-sama kepada kebenaran?
Sesungguhnya Agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam”
Surah ali-Imraan [3:19]
Sebagai contoh, cuba anda bayangkan, andaikata kita ditakdirkan dilahirkan bukan Islam(sebagai contoh sahaja – for the sake of our discussion). Kita lahir sebagai orang Melayu tetapi kita beragama selain daripada Islam(sebab mak bapak kita bukan Islam juga nenek moyang kita pun bukan Islam – ni contoh je yer) dan kawan-kawan Islam yang berbangsa Cina / India / Iban / Kadazan yang beragama Islam sorang pun tidak mahu ceritakan pasal Islam dan pasal kebenaran kepada kita. Malah ada yang kata kepada kita lakum dinukum waliyadiin – bagi kamu agama kamu dan bagi kami agama kami. Seperti yang kebiasaan orang kita cakap, kan? Apa kita rasa? Dan agak-agak kita akan dapat Islam tak? Kita akan hidup sebagai orang bukan Islam, kahwin dengan orang bukan Islam, hidup berkeluarga dalam keluarga bukan Islam dan mati pun juga dalam bukan Islam! Sebab sorang pun tak nak ceritakan pasal Islam kepada kita! Nauzubillah..
Saya bagi satu lagi contoh metafora
Gambarajah diatas Adalah Permainan MAZE. Pernah tak tengok Movie The Maze Runner? Ia adalah satu permainan yang banyak laluan dan hanya satu laluan yang boleh membawa jalan keluar. Bayangkan anda bersama-sama kawan-kawan anda bermain permainan tersebut. Hanya anda seorang sahaja yang tahu jalan keluar, tapi anda tidak mengajak kawan-kawan anda ikut laluan anda. Anda biarkan kawan-kawan anda terkapai-kapai dalam kebingungan mencari jalan keluar. Dengan sepantas kilat anda keluar daripada permainan tersebut dan anda menang. Dekat hujung tu anda berada di puncak bukit dengan perasaan bangga dapat mengalahkan kawan-kawan anda yang masih lagi tercari-cari laluan keluar. Dengan tidak semena-mena dinding-dinding batu tersebut runtuh lalu terbakar dan anda dapat lihat kawan-kawan anda sedang tersepit dan terbakar meminta tolong. Anda tidak dapat berbuat apa-apa sebab pintu pun sudah tertutup dan runtuh, anda hanya dapat melihat kawan-kawan anda dibakar hidup-hidup dalam keadaan tersepit. Adakah anda masih lagi dalam perasaan berbangga dengan kejayaan Anda? Ataupun anda mula berasa kesal sebab tidak mengajak kawan-kawan anda ikut bersama anda walhal anda tahu jalan keluar. Tentu anda akan menyesal bukan?
Ok baik, cuba saya tukar situasi pulak.. Bayangkan dalam permainan yang sama, anda pula yang tidak tahu jalan keluar, dan semua kawan-kawan anda tahu jalan keluar tetapi mereka tidak mengajak anda ikut bersama mereka. Mereka hanya biarkan anda seorang diri terkontang-kanting mencari jalan keluar. Akhirnya mereka berjaya keluar daripada permainan MAZE tersebut dan anda dapat lihat mereka diatas puncak bukit dengan bangga atas kejayaan mereka. Dan apabila cukup masa, dinding itu pun runtuh lalu terbakar membuatkan anda tersepit didalam tu. Apa perasaan anda pada ketika itu? Mesti anda akan berkata “Sampai hati korang ye, korang tahu jalan keluar tapi korang tak nak bagi tau aku dan ajak aku keluar bersama-sama korang. Apa jenis kawan lah korang ni!!”
Begitulah juga keadaan di akhirat nanti. Sahabat-sahabat non-Muslim kita akan menuntut kenapa kita tidak ceritakan Islam pada mereka sedangkan kita tahu Islam adalah agama yang benar dan satu-satunya agama disisi Allah adalah Islam tetapi kita bertindak untuk tidak menyampaikan kepada mereka seolah-olah Islam hanya hak milik eksklusif orang Islam sahaja. Di akhirat nanti mereka Ah Seng, Muthu dan John akan menuntut kepada kita, YA ALLAH! HAFIZI NI KAWAN SAYA, KAMI SELALU BERMAIN-MAIN BERSAMA, KAMI SELALU BELAJAR BERSAMA, MACAM-MACAM KAMI CERITA, PASAL BOLA, PASAL MEMANCING, PASAL MAKANAN, PASAL POLITIK DIA BOLEH CERITA, TAPI KENAPA DIA TAK CERITAKAN ISLAM PADA SAYA? YA ALLAH TARIK LAH DIA SEKALI KE NERAKA SEBAB DIA TAHU KEBENARAN ISLAM TETAPI DIA TAK NAK BAGITAU AKAN KEBENARAN TERSEBUT!” Kawan-kawan non-Muslim kita akan mendakwa kita dan mengadu pada Allah. Apa yang kita nak jawab dihadapan Allah SWT kelak?
Jadi sudah pasti adalah menjadi tanggungjawab kita umat Islam untuk sampaikan kebenaran kepada sekelian manusia termasuk non-Muslim! Merujuk kepada al-Quran Surah al-Baqarah [2:42] Allah SWT berfirman yang bermaksud
“Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan janganlah kamu sembunyikan akan kebenaran itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.”
Surah al-Baqarah [2:42]
Kita semua tahu Islam agama yang benar, kan? Kita semua tahu Allah satu-satunya Tuhan dan yang sebenar-benar Tuhan, kan? Jadi jangan kita menyembunyikan kebenaran tersebut. Kita wajib menyampaikan kebenaran tersebut mengikut kepada kadar kemampuan kita!
Jadi atas perkara inilah memberi kesedaran kepada saya untuk berdakwah kerana saya takut saya akan didakwa dihadapan Allah SWT di hari akhirat kelak. Jadi saya perlu berdakwah saya perlu menyampaikan kebenaran. Saya tidak mahu didakwa. Anda juga tidak mahu didakwa bukan? Jadi Dakwahlah sebelum anda diDakwa!!