Pada 8 Jun 2024, kami di Global UNITY Network mendapat jemputan istimewa dari PERKIM Cawangan Dato Keramat untuk mengendalikan satu sesi dialog yang sangat bermakna. Acara ini diadakan di PERKIM Kebangsaan, dan tujuan utamanya adalah untuk memupuk keharmonian antara kaum dan agama.
Ketika kami tiba, suasana penuh dengan keceriaan dan semangat. Para peserta yang hadir seramai 25 orang, datang dari pelbagai latar belakang bangsa dan agama. Ada yang dari Malaysia sendiri, dan tidak kurang juga dari Filipina. Kami dapat merasakan betapa pentingnya acara ini kepada mereka.
Mengapa Program Ini Dianjurkan?
Matlamat utama program ini adalah untuk memberi pemahaman yang lebih mendalam tentang Islam kepada non-Muslim. Dalam suasana santai, kami mulakan dengan memperkenalkan konsep keTuhanan dalam Islam. Kami berbicara tentang makna sebenar Islam, yang bermaksud penyerahan diri sepenuhnya kepada Tuhan yang Esa, apakah maksud Islam, apakah perbezaan Islam dengan Muslim dan bagaimana kehidupan seorang Muslim seharusnya mencerminkan ajaran Islam yang sebenar.
Salah satu sesi yang paling dinanti-nantikan adalah sesi soal jawab ataupun QnA. Para peserta diberikan peluang untuk bertanya apa sahaja yang mereka ingin tahu tentang Islam. Kami amat terharu dengan soalan-soalan yang diajukan – ia menunjukkan betapa mereka berminat untuk mengetahui Islam dengan lebih tepat, memahami Islam dengan lebih baik dan menghapuskan sebarang salah faham yang mungkin ada.
Mencapai Agenda Keharmonian
Dialog ini sebenarnya adalah sebahagian daripada usaha yang lebih besar untuk mencapai beberapa tujuan penting. Pertama sekali, kita semua hidup di Malaysia, sebuah negara yang terdiri dengan masyarakat majmuknya. Adalah penting untuk kita semua hidup dalam semangat harmoni, saling menghormati dan bertoleransi antara satu sama lain.
Kami juga percaya bahawa untuk mencapai kehidupan yang aman damai, kita perlu saling kenal-mengenali. Seperti mana firman Allah SWT dalam al-Quran, Surah al-Hujurat [49:13] yang bermaksud:
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).
Program ini merupakan satu peluang dan ruang untuk saling berinteraksi antara satu sama lain. Dengan saling memahami antara kaum, kita dapat mengurangkan jurang perbezaan dan meningkatkan rasa saling menghormati.
Penglibatan dan Sokongan
Kami sangat gembira melihat semangat dan sokongan yang diberikan oleh para peserta. Mereka bukan sahaja hadir, tetapi turut serta dengan penuh semangat dan memberikan maklumbalas yang sangat positif. Ada yang berkongsi pengalaman peribadi mereka, dan ada juga yang menyuarakan harapan untuk lebih banyak program seperti ini di masa hadapan.
Sebagai penutup, kami di Global UNITY Network ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada PERKIM Cawangan Dato Keramat atas jemputan ini dan kepada semua peserta yang telah hadir. Kehadiran dan sokongan anda semua adalah bukti bahawa dengan usaha bersama, kita boleh mencapai kehidupan yang lebih harmoni dan damai di Malaysia yang tercinta ini.
Dengan semangat yang sama, marilah kita teruskan usaha ini. Semoga hubungan antara kaum dan agama di negara kita akan terus erat, penuh dengan keharmonian dan saling memahami. Terima kasih kepada semua yang telah menjayakan program ini!